Monday 21 February 2011

AKTIVITI MASJID AT-TAQWA

AKTIVITI  MASJID  AT-TAQWA,  TAMAN  BERTAM  INDAH,  KEPALA BATAS,  PULAU  PINANG

Berdasarkan dapatan kajian saya, kegiatan utama Masjid At-Taqwa adalah berperanan sebagai tempat melakukan ibadah iaitu ibadah wajib solat lima waktu juga ibadah sunat yang lain. Kendatipun, organisasi Masjid At-Taqwa bijak dalam mengatur strategi dan menggubal segala kegiatan-kegiatan yang amat menarik dan penuh dengan kemaslahatan sehingga berjaya mencuri kebanyakan perhatian daripada komuniti setempat untuk tidak melepaskan peluang bagi turut serta untuk mengimarahkan lagi suasana masjid. Oleh itu, tidak hairanlah Masjid At-Taqwa acap kali dinobatkan sebagai Masjid Terbaik di daerah Pulau Pinang ini. 

Pada setiap waktu Maghrib, jemaah akan membaca al-Qu’ran di samping itu aktiviti berzikir juga diadakan. Masjid juga akan sediakan sedikit jamuan yang boleh menggalakkan ahli qariah ke masjid kerana perkara ini berkesan di qariah Masjid Taqwa Bertam Indah Kepala Batas Pulau Pinang, mereka menyediakan jamuan setiap kali mengadakan program-program agama secara tidak langsung dapat menarik minat ahli qariah ke masjid untuk solat berjemaah.  Pada setiap minggu juga, masjid ini akan mengadakan kelas-kelas yang berunsurkan keagamaan, antaranya ialah kelas mengaji al-Qu’ran untuk golongan kanak-kanak dan para remaja serta berzanzi. Pembacaan Yassin pula akan diadakan pada setiap hari Khamis malam Jumaat. Pada setiap hari Jumaat pula, solat Jumaat akan diadakan dan pada ketika ini ruang solat tambahan memang diperlukan kerana jumlah Jemaah yang ramai. Masjid ini juga pernah dikunjungi oleh TYT Pulau Pinang semasa Solat Jumaat. Aktiviti-aktiviti harian dan mingguan seperti ini memang mendapat sambutan dalam kalangan komuniti di sini dan sentiasa mendapat reaksi dan respons positif daripada masyarakat setempat.

Di samping itu, terdapat pelbagai aktiviti tahunan yang pernah dijalankan yang banyak mendapat tempat di hati komuniti di sini dan berjaya mengimarahkan lagi keadaan masjid. Untuk pengetahuan, lokasi kedudukan Masjid At-Taqwa berdekatan dengan Hospital Kepala Batas dengan jarak lebih kurang 1 km sahaja. Disebabkan itu, sebahagian daripada aktiviti yang dianjurkan oleh Masjid At-Taqwa pasti saling berkait rapat atau bekerjasama dengan Hospital Kepala Batas. Antaranya ialah lawatan ke Hospital Kepala Batas yang diisi dengan taklimat dan demo tentang cara-cara yang betul untuk bertayamum oleh pegawai hospital yang bertauliah serta baru-baru ini, Kempen Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan dijalankan secara percuma diadakan di perkarangan masjid.

Pada penghujung tahun lepas, telah berlangsung Majlis Penyerahan Bazar Wakaf dan jamuan dana daripada Yayasan Wakaf Malaysia yang meyerahkan tanah rizab berserta bangunan dijadikan sebagai Koperasi Kotaqwa yang kini telah mula beroperasi pada setiap hari Sabtu yang berfungsi sebagai pasar dan menawarkan pelbagai barangan basah. Selain itu, Gotong-royong Memasak Bubur As-Syura juga diadakan pada setiap tahun dan komuniti terdiri daripada kaum Hawa turun padang untuk menjayakan majlis ini. Di samping itu, Qurban At-Taqwa juga dijalankan pada Hari Raya Aidiladha. Kebiasaannya, proses penyembelihan diadakan di Surau At-Taqwa disebabkan kawasannya yang lebih lapang jika dibandingkan dengan Masjid At- Taqwa. Majlis Meraikan Bakal Haji juga diadakan. Tidak ketinggalan, Kenduri Akikah dan Jamuan Aidilfitri juga akan diadakan jika ada permintaan yang tinggi daripada masyarakat setempat. Pembayaran Zakat Fitrah juga dilancarkan di kawasan masjid.

Masjid At-Taqwa juga acap kali menganjurkan aktiviti-aktiviti di luar kawasan komuniti seperti Ekspedisi Mencandat Sotong di Batu Ferringhi dan Ekspedisi Riadah Berbasikal di sekitar daerah Kepala Batas. Kegiatan kembara seperti ini secara tidak langsung dapat menarik minat dan perhatian golongan muda dan semua lapisan masyarakat untuk lebih kerap mengunjungi masjid. Selain itu, Masjid At-Taqwa juga ada menganjurkan Lawatan ke Jenderami, Yala dan Satun iaitu lawatan Biro Muslimat untuk mengunjungi Sekolah Agama dan Rumah Anak Yatim dan serba sedikit menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka. Hal ini adalah bertujuan untuk melaksanakan kebajikan kepada saudara se-Islam kita yang kurang bernasib baik di Thailand. Masjid juga ada memberi banyak sumbangan kepada pelajar yang bakal menyambungkan pelajaran ke IPT, anak yatim, ibu tunggal dan guru al-Qu’ran di kawasan sekeliling tanpa membiarkan komuniti dalam keadaan daif dan mengharapkan agar dapat meringankan beban mereka. Pada tahun lepas juga, Masjid At-Taqwa mengadakan Majlis Berbuka Puasa di Rumah Warga Tua Darul Hanan untuk memeriahkan lagi suasana Ramadan dalam kalangan warga tua di daerah Kepala Batas.

Ketika menjelang bulan Ramadan, pelbagai aktiviti dirangka pada bulan tersebut. Antaranya, akan dibina deretan gerai untuk dijadikan Bazar Ramadan di hadapan perkarangan masjid. Hal ini akan menyenangkan para pengusaha gerai untuk menunaikan solat di samping menjalankan perniagaan masing-masing. Pada awal bulan tersebut, akan diadakan taklimat dan cabutan undi untuk Bazar Ramadan kepada para pengusaha gerai Ramadan nanti. Sepanjang bulan Ramadan, akan diadakan Tadarus Remaja dan Dewasa Ramadan dan Kem Ukhuwah khas bagi golangan muda. 

Antara aktiviti yang terpenting yang sering kali didapati di masjid ini adalah sesi ceramah daripada ustaz-ustaz yang terkenal. Organisasi masjid memang berperanan dalam memanggil dan menjemput penceramah-penceramah yang terkenal untuk memberi ceramah dan maklumat-maklumat yang diperlukan dalam komuniti ini. Pada bulan Ramadan, hamper setiap malam akan diadakan Kuliah Ekspres yang banyak membantu menjawab segala persoalan yang timbul dalam benak pendengar. Ustaz Zamri daripada TV9 juga pernah berkunjung untuk memberikan ceramah.

Masjid At-Taqwa juga tidak ketinggalan dalam melibatkan institusi ini untuk mengadakan demonstrasi seperti Demonstrasi Anti-Israil bersama Persatuan Haluan. Pelbagai kempen dan banner yang dibentang pada ketika itu. Ihtifal S.R.I.A.T. juga ada dijalankan. Pada setiap tahun, Demonstrasi Silat dan Buka Gelanggang akan dijalankan dan sesi pendaftaran akan diadakan di perkarangan masjid. Secara tidak langsung, hal ini akan menggalakkan lebih ramai pengunjung ke Masjid At-Taqwa ini. Sambutan Hari Polis pada setiap tahun juga mendapat sambutan meriah daripada masyarakat. Bagi menjamin kebersihan masjid ini, pada setiap tahun akan diadakan Gotong-royong Membersihkan Masjid secara berkala. Pada masa ini, semua komuniti akan turun padang untuk menyumbangkan tenaga bagi membersihkan setiap sudut masjid.

No comments:

Post a Comment